Make your own free website on Tripod.com

Khazanah etnik masyarakat Batak

 


 



      
DANAU Toba di Sumatera mempunyai banyak keistimewaan bagi pencinta alam dan pelancong yang inginkan kedamaian kerana pulau yang terbentuk secara semula jadi selepas letupan gunung berapi sekitar 75,000 tahun lalu itu, banyak tersimpan khazanah tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar, di samping etnik pelik lagi menarik untuk diketahui.


        Kajian geologis Belanda, van Bemmelen pada 1949, mendapati selain pulau dikelilingi batu lahar tebal itu, wujud sekelompok etnik manusia serba berkebolehan iaitu masyarakat Batak, lebih-lebih lagi di Pulau Samosir yang dikelilingi tasik seluas 100 kilometer (km) panjang dan 30 km lebar.

        Pulau itu mempunyai keluasan 627 kilometer persegi iaitu tiga kali ganda daripada Singapura dengan 123 kampung.

 

Saya bersama 120 penumpang termasuk 15 wartawan dari Kelantan yang berpeluang menyertai penerbangan pertama tajaan Punca Jitu Travel & Tour Sdn Bhd, baru-baru ini.

Kami menaiki pesawat sewa khas Penerbangan Malaysia (MAS) bagi sektor Kota Bharu-Medan, Sumatera.

Walaupun masyarakat Batak mempunyai beberapa suku kaum kecil iaitu Karo, Simalungun, Angkola, Mandailing, Toba, Dairi dan Pakpak, dalam beberapa aspek mereka masih mempunyai beberapa persamaan.

Selain meletakkan kepala kerbau lengkap dengan tanduk di setiap puncak atau segi tiga di dalam dan luar rumah yang melambangkan kesejahteraan bagi keluarga yang menghuninya, masyarakat Batak turut membuat hiasan cicak secara grafik atau gambar di setiap bahagian berpalang atau bertiang.

        
        Mereka mengibaratkan diri seperti cicak iaitu walaupun lemah, mampu berdikari untuk mencari rezeki ketika berada di mana jua di bumi ini.

        Seperti cicak yang boleh bergerak di dinding, bumbung sendeng, dinding curam dan kalau jatuh pun anggota badannya tidak cedera, masih mampu menyelamatkan diri, begitu juga sifat kebanyakan masyarakat Batak.

        Selain itu, cicak dianggap pengawal keselamatan sesebuah rumah kerana dengan bunyi yang dihasilkan haiwan itu dapat memberi makna mengenai kehadiran orang tidak dikenali sama ada datang dari belakang rumah, depan rumah atau dari mana-mana sudut kerana cicak sentiasa berada di setiap sudut rumah, sama ada di bahagian depan, belakang, dapur, bilik atau mana-mana sudut sekali pun.

        Lambang kebanggaan masyarakat Batak ialah empat payu dara yang membawa maksud kesuburan, kesetiaan, ramah tamah dan penghormatan kepada ibu.

        Empat prinsip penghormatan kepada kaum hawa itu dizahirkan menerusi logo empat payu dara di setiap pintu gerbang sama ada di halaman rumah, tempat tumpuan awam dan tanah perkuburan.

        Kesuburan membawa pengertian bahawa sebagai seseorang wanita Batak, mereka harus membuktikan kesuburan dengan kemampuan melahirkan sebanyak mana zuriat.

        Dari segi kesetiaan pula, lambang payu dara itu menggambarkan bagaimana setianya seseorang wanita Batak terhadap suami. Manakala penghormatan pula ialah setiap anak Batak, sama ada di mana jua merantau mencari rezeki, mereka perlu memberi sumbangan kepada ibu dari segi wang ringgit dan kembali ke kampung halaman suatu hari nanti.

**back**